TPB 2030 perkasakan agenda pembangunan Bumiputera

0
17
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan usaha memperkasakan agenda besar Bumiputera secara lebih berstruktur melalui pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, TPB 2030 menggariskan strategi pembangunan dan inisiatif yang selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 yang didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Secara amnya, TBP 2030 mengenal pasti enam sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030.

“Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama yang terdiri daripada pertanian dan komiditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran TPB 2030 di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd. Latif Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman.

Menurut Perdana Menteri, TPB 2030 akan dilaksanakan secara inklusif bersesuaian dengan abad ke 21 meliputi pembangunan dari negeri Perlis ke Sabah dan Sarawak tanpa meminggirkan golongan minoriti.

Usaha itu katanya akan dipastikan tidak sekadar gah di atas kertas tetapi mamu merealisasikan keberhasilan yang benar-benar mengubah nasib dan masa depan Bumiputera.

“Kejayaan bumiputera bukan hanya agenda bumiputera semata-mata, tetapi membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya. Justeru semua pihak perlu mengambil iktibar daripada program yang dilaksanakan selama ini tetapi masih gagal mencapai objektifnya.

“Kita turut mampu memacu agenda bumiputera ke peringkat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Justeru beliau mahu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengambil pendekatan yang lebih moden dan berkesan dalam menjayakan agenda bumiputera khususnya dalam urusan tadbir urus yang mengutamakan kualiti piawaian.

Tambah beliau, peranan dimainkan oleh Teraju diyakini dapat memastikan pembangunan TPB 2030 yang akan menjadi pemangkin kewujudan ekosistem Bumiputera bertepatan dengan perkembangan teknologi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here