UMNO Lipis sokong PM sehingga berakhir penggal Parlimen

0
48
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

LIPIS – UMNO Bahagian Lipis akan terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menerajui kerajaan sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Perdana Menteri perlu diberi sokongan penuh kerana tiada sebab untuk mempercepatkan tempoh pilihan raya umum (PRU).

“Kita perlu beri peluang untuk Perdana Menteri memimpin dan mentadbir negara sehingga habis penggal ini. Kerana apa? Kerana kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa tiada pemimpin dari parti lain yang boleh mentadbir dengan baik selain dari parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Oleh demikian kita perlu berikan sokongan padu kepada beliau. Tiada sebab kita perlu adakan PRU lebih awal, sedangkan kita perlukan lebih masa untuk beri keyakinan kepada rakyat.

“Kita perlukan lebih masa kerana Bajet 2023 baru sahaja diluluskan dan ia perlu
ditunjukkan dan dibuktikan ketrampilannya kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di sini hari ini.

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (empat dari kanan) menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga bersetuju supaya Ismail Sabri dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri daripada BN untuk PRU-15 nanti.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut meminta supaya tumpuan diberikan kepada pengundi untuk kategori Undi 18.

Beliau menjangkakan, kumpulan undi tersebut akan menjadi penentu pada PRU yang akan datang.

“Bayangkan di Lipis sahaja pada PRU-14
yang lalu, pengundi kita adalah sekitar 38,000 namun dengan adanya Undi 18, pengundi kita sudah mencecah lebih 50,000 orang.

“Ini di Lipis. Saya berbual dengan rakan saya dari serata bahagian. Ada yang pengundi mereka dari 50,000 yang dahulu, hari ini telah mencecah 100,000. Ada yang pengundi mereka sebelum ini 80,000 hari ini dengan adanya pengundi 18 telah mencecah ratusan ribu.

“Perkara ini jika kita ahli UMNO tidak beri
perhatian yang serius, tidak mustahil sekali lagi UMNO akan dilanda badai dan tumbang dalam PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa supaya semua ahli UMNO di semua peringkat mendekati anak-anak muda untuk menambat hati mereka.

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

“Sebab itu saya terpaksa ikut trend, bila mereka pakai fit, saya pun pakai fit. Bila mereka ada tiktok saya pun buat tiktok.

“Tuan-tuan ada tiktok tak? Berapa ramai yang ada tiktok dalam ni? Berapa ramai yang ada instagram dalam ni? Medium-medium ini perlu kita manfaatkan dan guna sepenuhnya. Disebabkan inilah kita perlu seiring dengan pemikiran anak muda tetapi ada aturannya agar ianya tidak terpesong daripada matlamat asal,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here