Warung Cikgu jadi pusat pengumpulan, anak muda penggerak bantuan banjir

0
134
Pstugas Warung Cikgu sedang mengasingkan barangan sumbangan orang ramai sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

CYBERJAYA – Tanpa dinaungi sebarang parti politik ataupun berdamping dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, komuniti Kampung Baru Lanjut, Sepang mampu menggerakkan bantuan mangsa banjir hasil inisiatif anak-anak muda kampung sendiri.

Berpusat di Warung Cikgu yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan bekalan, anak-anak muda yang berusia antara 16 hingga lewat 30-an bertungkus-lumus mengedarkan barangan keperluan kepada mekera yang memerlukan, terutamanya mangsa banjir di kawasan itu

Menurut anak pengusaha warung itu, Fatin Nazirah Kamsani, peranan warung itu yang pada mulanya hanya sebagai pusat pengedaran bekalan makanan bermasak, sudah berkembang.

Warung Cikgu diusahakan oleh seorang bekas guru, Kamsani Sahlan.

“Pada mulanya, ayah sediakan makanan bermasak untuk mangsa banjir, tapi lama-kelamaan warung ini menjadi pusat pengumpulan barangan keperluan, ” kata Fatin Nazirah yang ditemui, hari ini ketika sukarelawan Yayasan Brainy Bunch singgah bagi menyerahkan bantuan.

Kata Fatin Nazirah lagi, anak-anak muda yang aktif mengedarkan baramgan tersebut aktif pada sepanjang masa.

“Mereka tiada jadual khusus. Mereka beroperasi 24 jam.

“Apabila ada permintaan daripada penduduk yang terkandas, mereka akan segera hantar,” katanya lagi.

Selain Warung Cikgu, sukarelawan turut menurunkan barangan berupa pakaian, bantal, alatan tidur, dan perkakas penjagaan peribadi bagi mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang.

Setakat pukul 3 petang tadi, sebanyak kira-kira 100 buah keluarga ditempatkan di lokasi itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here