Yang di-Pertuan Agong mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir

0
26
Al-Sultan Abdullah menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir hari ini.

Yang di-Pertuan Agong meluangkan masa hampir satu jam melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Istana Negara dalam satu kenyataan, pada lawatan tersebut Al-Sultan Abdullah menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS tersebut.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat Baginda tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, SRJK Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields,” katanya di laman Facebook hari ini.

Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke PPS.

Tambah Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir ini supaya bersabar dan reda dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini (Disember) dan Januari,”ujarnya.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menyeru agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa banjir.

“Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik dan bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada tahun 1971 tidak berulang,”kata Istana Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here