YGMB sentiasa kreatif sediakan manfaat kebajikan guru ikut keperluan semasa

0
60

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan menerusi program CSR Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Melaka baru-baru ini.

MELAKA – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sentiasa kreatif memikirkan kaedah terbaik untuk membela nasib warga pendidik di negara ini.

Pengerusi YGMB, Aminudin Adam berkata, idea baharu yang dijana YGMB juga diyakini bersesuaian dengan perkembangan semasa para guru.

Ia sekaligus katanya, dapat menarik penyertaaan lebih ramai warga pendidik untuk menyertai YGMB dalam mana-mana skim yang ditawarkan.

“YGMB sentiasa memikirkan produk baharu yang sesuai dengan perkembangan semasa untuk menarik lebih ramai warga pendidik menjadi ahli.

“Ia bersesuaian dengan objektif utama penubuhan YGMB untuk menjaga kebajikan guru. Oleh itu, para guru dipelawa untuk sertai YGMB pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan manfaat Khairat Kematian dan sumbangan tangungjawab sosial korporat (CSR) YGMB di Melaka hari ini.

Turut hadir sama Pengarah Pendidikan Melaka, Dr. Mohd Azam Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Naib Presiden Takaful Ikhlas Berhad, Suhaimi Ismail.

Waris penerima manfaat Khairat Kematian, Azlan Mohamad Noor, hadir menerima sumbangan mewakili keluarga Allahyarham adiknya, Azran Mohamad Noor, 45.

Menurut Aminudin, pada tahun hadapan, pihaknya menyasarkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan warga pendidik menyertai YGMB.

“Sekarang kita ada kira-kira 450,000 guru di seluruh negara, jadi untuk tahun hadapan kita sasarkan separuh daripadanya sertai YGMB.

“Ketika ini, YGMB mempunyai 110,000 ahli iaitu tidak sampai separuh jumlah keseluruhan guru di Malaysia namun, Alhamdulillah kita masih dapat menambah jumlah bilangan ahli baharu.

“Saya percaya, pertambahan ahli baharu didorong oleh langkah YGMB yang memperkenalkan skim baharu yang bersesuaian dengan perubahan semasa,” katanya.

Mengulas mengenai golongan sasar, Aminudin berkata, selain guru muda pihaknya turut menyasarkan untuk menarik penyertaan guru yang terlepas untuk sertai YGMB melalui Skim Emas yang baharu diperkenalkan.

“Sebenarnya ramai yang berminat untuk sertai YGMB namun, terlepas apabila umur lebih 55 tahun. Jadi kali ini, peluang kembali terbuka untuk mereka,” katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, terdapat 10 penerima iaitu seorang penerima manfaat kebajikan (Khairat Kematian Ahli Skim 18 YGMB) dan sembilan penerima CSR yang mengidap pelbagai jenis penyakit.

Menurut waris penerima manfaat Khairat Kematian, Azlan Mohamad Noor, dia hadir menerima sumbangan itu mewakili keluarga Allahyarham adiknya, Azran Mohamad Noor, 45.

Azlan berkata, adiknya meninggal dunia pada 28 Ogos lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat serangan jantung.

“Hari ini, keluarga Azran terima manfaat kebajikan sebanyak RM27,005.80. Kami sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan arwah layak terima manfaat ini kerana dia sebenarnya baharu sahaja sertai YGMB.

“Jika diikutkan, dia (arwah) sertai YGMB pada November tahun lalu, walaupun ahli baharu dia tetap layak. Terima kasih YGMB kerana menjadi pelindung untuk warga pendidik di seluruh negara.

“Saya percaya, wang ini akan digunakan sebaik mungkin oleh isteri arwah untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat orang anak hasil perkongsian hidup mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here