11 ekor Pak Belang masih berkeliaran di Pos Bihai

0
37
Tangkap layar video harimau belang yang dilihat berkeliaran di sekitar kawasan kampung di Pos Bihai, Gua Musang di Kelantan.

CYBERJAYA – Sekurang-kurangnya 11 ekor harimau belang dipercayai masih berkeliaran di sekitar perkampungan orang asli di Pos Bihai, Gua Musang, di Kelantan sekaligus mencetuskan kebimbangan orang ramai di kawasan itu.

Sebagai langkah keselamatan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini meningkatkan kawalan dan meneruskan operasi pemantauan bagi memastikan keselamatan kira-kira 30 keluarga di penempatan tersebut.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan penduduk kampung dan memberi amaran supaya tidak keluar jauh dari kawasan rumah kerana ancaman haiwan berkenaan.

Langkah berjaga-jaga itu katanya diambil selepas kejadian serangan harimau yang mengorbankan seorang penduduk di Kampung Sau, 7 haribulan lalu.

Selain itu, pihak Perhilitan juga telah memasang tiga perangkap selepas dakwaan penduduk mengenai kewujudan 11 ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan Remau, Kampung Bayor dan Kampung Bujok.

“Tindakan yang telah dilaksanakan jabatan adalah memasang tiga buah perangkap harimau belang (perangkap Wahab) iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Malakat Tribune pada 7 Januari lalu melaporkan serangan harimau yang mengorbankan seorang penduduk orang asli.

Haiwan pemangsa itu kemudiannya berjaya ditembak mati oleh Perhilitan.

Dalam laman Facebook Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) baru-baru ini, penduduk orang asli mendakwa ‘pencerobohan’ harimau ke kawasan penduduk berpunca daripada kemusnahan habitat asalnya akibat pembalakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here