
CYBERJAYA – Sesi persekolahan di 113 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang masih terkesan akibat banjir dikecualikan daripada beroperasi seperti ditetapkan.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pengoperasian sekolah yang sepatutnya pada 9 dan 10 Januari ini ditangguhkan dan akan bermula selepas institusi pendidikan terbabit sedia untuk beroperasi.
“KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap hari Rabu berhubung senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau dijadikan sebagai PPS.
“Perubahan senarai yang dikeluarkan KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir, justeru mungkin terdapat pertambahan atau pengurangan bilangan institusi pada setiap minggu,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi institusi pendidikan yang selesai dibersihkan, pengoperasiannya akan bermula pada hari Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.
“Institusi pendidikan di bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru. Ia juga terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM,” katanya.
Pada masa sama katanya, lapan institusi pendidikan yang terkesan akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sri Telemong, SJKT Karak, SJKC Taman Tas, SJKT Ladang Acob, SK Rantau Panjang, SK Taman Sri Muda dan SK Taman Sri Muda 2.