
CYBERJAYA – Sebanyak 164 laluan yang mempunyai kemudahan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mula beroperasi pada 10 malam tadi.
Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, sekurang-kurangnya satu lorong RFID disediakan di semua 83 plaza tol di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“Sekurang-kurangnya setiap plaza tol yang berada di jajaran PLUS ini akan ada satu lorong keluar dan satu lorong masuk.
“Tetapi plaza besar seperti plaza tol Jalan Duta kita akan sediakan lebih untuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna lorong RFID,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusuf berkata, setakat ini dianggarkan 1.5 juta pelanggan lebuh raya menggunakan kemudahan sistem RFID Touch ‘n Go di Lembah Klang.
Sementara itu katanya, PLUS mensasarkan penggunaan teknologi RFID secara menyeluruh untuk semua kelas kenderaan pada masa hadapan.
Katanya, ia termasuk pengguna bagi kenderaan bukan persendirian tdan agensi kerajaan dengan mewujudkan satu akaun khas bagi kategori itu yang dijangka akan diumumkan pada hujung Februari depan.
Dalam pada itu beliau mengingatkan, pengguna lebuh raya yang mahukan teknologi RFID dalam melancarkan perjalanan mereka perlu mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go dan seterusnya wajib aktifkan akaun e-Wallet.
Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara dalam talian.
Maklumat lanjut berhubung RFID boleh layari laman web http://rfid.plus.com.my.