
CYBERJAYA – Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Negeri Sembilan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini berjumlah 2,010 orang.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah terbaru mangsa banjir itu melibatkan penempatan di 20 buah PPS di daerah Tampin, Kuala Pilah dan Jempol yang mula dibuka semalam.
“PPS yang baharu dibuka semalam adalah di Surau Kampung Kurnia Diraja, Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar dan Dewan Orang Ramai Kampung Tiong di Tampin.
“Di Kuala Pilah pula, tiga buah lagi PPS turut dibuka semalam iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansur, SMK Palong 7 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung San,” menurut laporan itu.

PKOB berkata, kesemua mangsa yang terjejas terdiri daripada 544 buah keluarga.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah di Tampin masih lagi mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi telah dipindahkan iaitu seramai 509 orang daripada 120 buah keluarga.
“Ia diikuti PPS SMK Gemas seramai 281 orang, Dewan Besar Gemas (169) dan Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar (167) kesemuanya di daerah Tampin,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 27 orang mangsa dari lapan buah keluarga masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Puom, Jelebu susulan kejadian banjir pada 18 Disember tahun lalu.
Sementara itu, susulan kejadian banjir yang berlaku kelmarin dan semalam, tiga jalan iaitu di N17 Kampung Temeris, N17 SMK Jelai dan FT001 Kampung Geduk masih ditutup untuk dilalui oleh semua kenderaan.
