
CYBERJAYA – Sebanyak 25 kes radang otot jantung atau miokarditis dikesan dalam tempoh 21 hari selepas seseorang individu menerima vaksinasi Covid-19 daripada 433,674 kemasukan ke 216 hospital bagi tempoh Februari hingga September 2021.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 14 kes dilaporkan berkaitan vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer), sembilan berkaitan dengan vaksin CoronaVac (Sinovac) dan dua lagi membabitkan Oxford-AstraZaneca.
Menurutnya, kajian keselamatan vaksin Malaysia dikenali sebagai ‘Case-Based Monitoring of Adverse Events Following Covid-19 Vaccination (SAFECOVAC)’ dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kajian SAFECOVAC mendapati, kadar sebenar kejadian miokarditis bagi setiap juta dos yang diberikan ialah 0.9 dalam kalangan penerima vaksin Comirnaty, 0.5 untuk CoronaVac dan 0.7 untuk vaksin Oxford-Astra Zaneca.
“Dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 30 tahun, kadar sebenar berlakunya miokarditis adalah 0.87 setiap juta dos yang diberikan bagi Comirnaty dan 0.49 bagi CoronaVac, manakala bagi individu berumur 30 tahun ke atas, kadar sebenar miokarditis ialah 1.0 setiap juta dos bagi Comirnaty dan 0.6 bagi CoronaVac,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, secara kesimpulannya berdasarkan keputusan kajian SAFECOVAC, data dari sistem Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)- kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan Real-World Data, konsisten dengan kejadian miokarditis yang sangat jarang berlaku, setelah menerima vaksin Comirnaty.