
KOTA BHARU- Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan seramai 44 pelajar sekolah berasrama penuh di Jalan Teliput disahkan positif Covid-19.
Dr. Zaini berkata, kluster yang membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada Jumaat lalu, sebagai Kluster Embi Telipot.
“Seramai 256 orang kontak rapat yang dikenal pasti dan kesemuanya diarahkan untuk menjalani kuarantin. Mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.
“Sehingga semalam, seramai 44 kes yang dikesan positif Covid-19 membabitkan semua pelajar asrama sekolah itu,” katanya hari ini.
Menurut Dr. Zaini, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.
Mengulas berhubung dakwaan tular yang mendakwa kes Covid-19 itu berpunca daripada seorang pelajar di mana ibu bapanya baharu pulang dari menunaikan umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar kerana belum ada keputusan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan.
“Namun, pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kes di sekolah itu.
“Kita sahkan, ada kluster Covid-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama,” katanya.