
DUNGUN – Sebanyak 50 nyawa menjadi korban akibat banjir di seluruh negara setakat ini dengan dua lagi mangsa masih belum ditemui.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tanpa memperincikan jumlah korban berkata, dua mangsa yang dilapor hilang itu adalah di Telemong dan Bentong, Pahang.
“Setakat ini pihak polis merekodkan jumlah kematian akibat banjir seramai 50 mangsa dengan dua lagi masih belum ditemui atau hilang,” katanya hari ini.
Acryl berkata demikian dalam satu sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Kampung Jongok Batu, Dungun.
Banjir pada bulan Disember lalu melanda beberapa negeri melibatkan Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur.
Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi, diikuti Pahang dan Kelantan.
Dalam pada itu, Acryl berpuas hati dengan tahap persediaan dan pengoperasian banjir berdasarkan maklumat yang diterima daripada ketua-ketua polis negeri.
Dalam perkembangan tawaran diskaun 80 peratus bagi pembayaran saman, beliau berkata PDRM tidak berhasrat melanjutkan tempoh tawaran yang berakhir semalam itu.
Katanya, tiada keperluan pihaknya berbuat demikian memandangkan kebanyakan saman tertunggak sudah dilunaskan orang ramai sepanjang tempoh yang diberikan.
“Kita dapati kaunter trafik di seluruh negara juga dilihat tidak lagi sesak seperti sebelum ini pada minggu terakhir.
“Kalau mengikut statistik juga kita dapati bahawa dalam tempoh 9 hingga 31 Disember yang telah tamat kita dapati sejumlah 8.6 juta saman telah diselesaikan,” katanya.