7,527 anggota bomba dikerah ke enam negeri

0
18
Taklimat keadaan semasa banjir oleh pengurusan bomba negeri. -Foto FB Reezal Merican

CYBERJAYA – Sebanyak 7,527 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerah ke enam negeri bersama 438 aset sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir.

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pergerakan anggota di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Sabah itu juga adalah sebagai persediaan fenomena air pasang besar di Pantai Barat sehingga 5 Januari depan.

“Kita juga dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di Pantai Barat yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar sehingga 5 Januari 2021.

“Insya Allah, kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat berada dalam keadaan optimum dengan 4,878 operasi telah pun dilakukan sepanjang musim Monsun Timur Laut, sehingga jam 8.00 pagi tadi,” katanya dalam hantaran di Facebook, petang ini.

Reezal Merican berkata, sebagai pengurusan tindakan, beliau juga menerima maklumat terkini secara real-time daripada pengarah bomba negeri yang sedang mengalami banjir.

“Grup WhatsApp saya bersama mereka tidak pernah sunyi dengan perkembangan terkini situasi di lapangan pada setiap masa.

“Ia juga memudahkan arahan diberi serta-merta dan tindakan dapat dilakukan segera.

“Keberadaan Wira Merah di setiap lokasi merupakan kelegaan kepada rakyat. Saya doakan pasukan Wira Merah kita terus diberi kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat di mana sahaja pada setiap masa,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here