Abang Viva akhirnya setuju terima pemberian 4X4, makin laju lepas ini

0
174
Pengasas produk kosmetik, Sha Hassan dalam satu pertemuan dengan ‘Abang Viva’ berhubung pemberian sebuah 4X4 di Bangi baru-baru ini.

CYBERJAYA – Hasrat seorang usahawan kosmetik untuk menghadiahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) kepada Abang Viva kini hampir menjadi kenyataan apabila dipersetujui sendiri oleh hero banjir itu.

Sebelum ini, tawaran yang dibuat oleh usahawan dikenali sebagai Sha Hassan itu dikatakan ditolak oleh Abang Viva atau Azman Omar kerana bimbang pemberian itu bertujuan untuk meraih promosi.

Bagaimanapun melalui beberapa hantaran video dan kenyataan di Instagram, Sha Hassan menjelaskan bahawa Azman,29, tidak pernah menolak tawaran itu malah memberitahu akan menghubunginya semula selepas selesai misi membantu mangsa banjir di Pahang.

Menurutnya lagi, isu pemberian 4X4 itu didiamkan seketika untuk mengelak isu itu menjadi bertambak teruk selepas ia tular dalam kalangan nitizen.

“Dari awal niat saya ikhlas dan tidak lain tidak bukan untuk memberikan sumbangan demi memudahkan segala urusan untuk membantu lebih ramai orang.

“Malah Abang Viva pun tidak pernah tolak dan hanya menghantar mesej untuk menghubungi saya selepas ini,” katanya.

Azman Omar atau Abang Viva dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya dan Abang Viva tidak ada masalah malah saya seronok dengar kisahnya yang menggalas tanggungjawab besar menjaga orang tuanya dan sekarang membantu orang ramai tanpa menghiraukan apa sahaja halangan,” kata pengasas kosmetik, Shalicious Empire Sdn Bhd itu.

Sementara itu, Azman yang sebelum ini memandu sebuah Perodua Viva bersama sebuah rakit untuk membantu mangsa-mangsa banjir dijangka menerima kenderaan pacuan empat roda pada minggu depan selepas selesai urusan pendaftaran.

Sementara itu, Azman dalam sesi Live Facebooknya sebelum ini menjelaskan sumbangan daripada Sha Hassan itu tidak melibatkan sebarang syarat atau terma sebaliknya adalah sumbangan ikhlas untuk memudahkannya melakukan misi bantuan.

“Saya setuju je nak terima. Macam Sha sendiri ikhlas nak beri, tak ada syarat tak ada apa. Memang kita orang dah bincang isu ini semalam. Saya setuju sajalah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here