Abu Zahar dan Borhan perlu direhatkan-Majlis Presiden PH

0
24
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Tan Sri Borhan Dolah direhatkan.

CYBERJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesai.

Majlis Presiden PH dalam kenyataannya hari ini juga mendesak agar Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah turut direhatkan.

Tegas Majlis Presiden PH, tindakan itu adalah kerana Abu Zahar sudah kehilangan kepercayaan ahli-ahli LPPR manakala Borhan enggan menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas juga diperlukan untuk mengetuai LPPR dan PPPR supaya kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula.

“Sudah jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan.

“Kenyataan enam ahli LPPR menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai Ahli LPPR. Oleh itu, Abu Zahar perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya.

“Pada masa yang sama, Borhan juga perlu direhatkan sehingga siasatan sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan perdagangan berjuta-juta saham dan waran,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, enam ahli LPPR menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Dalam satu kenyataan mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mereka menjelaskan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden PH memandang serius dan menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Azam serta membuat tuduhan kononnya isu berkenaan bermotif ‘dendam politik’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here