Abu Zahar sedia di siasat, serah kedudukan kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong

0
84
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.

PUTRAJAYA – “Saya bersedia untuk disiasat oleh mana-mana organisasi, bila-bila masa sahaja kerana tiada apa yang saya ingin sembunyikan,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataannya pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam sidang media yang diadakan pagi ini, Abu Zahar juga menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR seperti mana yang diamanahkan sebelum ini.

“Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa. Saya sanggup berikan kerjasama kerana tidak mempunyai sebarang agenda terselindung di sebalik siasatan tersebut.

“Sebagaimana yang saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat yang bertujuan utamanya memerangi gejala janayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Abu Zahar turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan terbuka enam anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.

“Sepatutnya kami akan mengadakan mesyuarat tertutup pada hari ini (pukul 10 pagi) untuk berbincang mengenai perkara ini. Namun, saya kesal kerana keenam-enam ahli panel LPPR telah membuat mesyuarat antara mereka dan keluarkan kenyataan pada 8 Januari,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, semasa sidang medianya pada pada 5 Januari itu, kenyatan penuh sebanyak 13 muka surat yang mengandungi keseluruhan kenyataan diedarkan, namun tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang salah tanggapan.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Tan Sri Azam Baki yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR.

“Tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya.

Pada sidang media Selasa lalu, Abu Zahar berkata, menerusi perbincangan bersama Azam pada 24 November 2021, LPPR mendapati Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan atau berfaedah dalam isu pembelian saham dikaitkan dengannya.

Menurut beliau, Lembaga Pengarah LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam namun selepas itu enam ahli Lembaga Pengarah LPPR pula mendakwa kenyataan Abu Zahar bersifat peribadi bukan keputusan majoriti ahli lembaga pengarah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here