
CYBERJAYA- Kebanyakan orang ‘kita’ mengambil keputusan untuk tunggu dahulu sebelum buat sesuatu dalam kehidupan mereka sehingga segala perancangan terganggu.
Sebenarnya, tidak perlu tunggu, anda patut buat sahaja kerana faktor menunggu itu hanya akan mengundang masalah dan kerugian.
Pejuang ekonomi Islam, Coach Mohd Fadzil Hashim berkata, ada yang takut untuk bermula dan tunggu sumber sesuai dan tunggu cukup duit.
Berkongsi pengalamannya, Coach Fadzil berkata, ketika beliau mahu mulakan Brainy Bunch, ramai yang kata pihaknya belum bersedia.
“Sebabnya, kami nak buat suasana persekitaran bahasa Inggeris. Padahal cikgu kita biasa aje, English pun masih struggle.
“Masa itu ramai orang kata, ‘You nak offer English, tapi kebolehan English teachers masih tak mencapai tahap yang tinggi.’
“Tetapi kami tidak tunggu. Kami akui itu adalah proses. Kami hendak mengajar anak-anak, bukannya nak bercakap dengan dia.
“Sistem yang kita cipta itu bukannya bergantung kepada guru-guru tetapi kepada sistem yang kita ada di sekolah. Kalau kita nak tunggu cikgu seperti Mat Saleh datang mengajar, kita kenalah bayar RM2,000 – RM3,000 sebulan,” katanya secara live di Facebooknya.
Menurut Coach Fadzil, semua orang perlu meletakkan keyakinan kita kepada ALLAH bahawa dia akan hantar nusrahnya, maka kita jangan risau sangat dengan hasilnya.
“Kita sepatutnya kena banyak risaukan apa yang kita kena buat. Itu lebih penting. Kita selalu kaji apa lagi yang kita boleh perbaiki. Maka jangan tunggu. Jangan tunggu duit, jangan tunggu sumber atau tunggu orang nak sokong.
“Kalau ada orang kata ‘kau gila,’ rasanya betullah apa yang kita buat. Kita boleh minta pandangan, tapi jangan pula pandangan itu menjadi rujukan utama. Rujukan utama kita adalah dengan Allah. Kemudian, banyak buat perundingan dengan diri sendiri.
“Allah yang memandu kita. Apa yang jadi semuanya dengan pengetahuan dan kebenaran-NYA. Oleh sebab itu jangan tunggu. Tentulah kita kena ada perancangan.
“Tetapi jangan kita terikat dan detail sangat dengan risk mitigation dengan assessment team, seolah-olah macam syarikat besar. Tak payah tunggu hingga ke peringkat itu.
“Bila perubahan yang akan menjejaskan usaha kita berlaku, ia tak sepatutnya menjadi penyebab kita tak boleh lakukan sesuatu yang signifikan,” katanya.
Selain itu, Coach Fadzil turut bertanya apa tindakan besar untuk rakyat teruskan perjuangan memperbetulkan kelemahan yang ada dalam sistem hari ini.
“Jangan tunggu pemimpin selamatkan kita. Walaupun kita bersuara dan buat macam-macam, tapi jangan tunggu mereka. Sebelum ini saya pun tunggu juga. Tunggulah… kononnya kalau ‘pemimpini tu jadi pemimpin kita, dia akan bawa Islam menjadi lebih kuat.’
“Dulu banyak gerakan-gerakan Islam yang berfikiran begitu. Hingga ke hari ini ada lagi orang kita yang fikir macam tu. Nak tunggu pemimpin tu naik baru nak harap sesuatu berlaku.
“Tuan puan… berharap itu, okey. Tapi kita kena berdoa kepada Allah agar pemimpin kita diberi kesedaran. Indonesia dah jauh tinggalkan kita. Tapi pemimpin kita masih sibuk lagi dengan diri mereka.
“Tetapi tak apalah. Kita doa dan masih berharap. Tapi jangan berdoa tanpa buat apa-apa.
Sebaliknya kita kena buat. Kita kena ambil tanggungjawab. Kita kena mulakan. Hari ini umat lemah sebab kita jarang cakap ‘murụna bil-ma’rụfi wa tan-hauna ‘anil-mungkar’ iaitu menyeru kebaikan dan mencegah yang mungkar,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang kita jangan tunggu pemimpin, jangan tunggu orang kaya tolong kita, jangan tunggu bulan jatuh ke riba, sebab bulan tak kan jatuh ke riba.
“Kita yang patut usahakan dan Allah akan nilai perbuatan kita samada kita mati dalam perjuangan atau capai kejayaan.
“Ramai sahabat-sahabat awal mati dalam perjuangan. Walaupun mereka tak dapat kemenangan, tapi mereka dapat rasa manisnya perjuangan. Sebab bila kita berjuang, ia amat sukar. Kalau senang, ia bukannya berjuang,” katanya.