
KOTA BHARU – Penerokaan dan pembalakan haram sememangnya berkaku Kelantan namun dalam keadaan yang tidak serius, kata Timbalan Menteri Besae Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, ketika ini pembalakan haram bukan sahaja berlaku di Kelantan malahan turut dihadapi oleh semua negeri di Malaysia.
“Seluruh Malaysia ada isu pembalakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Cuma di Kelantan isu ini tidak serius, maksudnya tidak serius itu apabila ada orang kampung nak buat kebun, nak tanam durian atau kelapa sawit jadi mereka tebang pokok,” katanya.
Menurut Mohd Amar, dari segi undang-undang adalah satu kesalahan melakukan pembalakan secara haram dan pencerobohan hutan lebih-lebih lagu di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
“Jabatan Perhutanan Kelantan turun melakukan operasi penguatkuasaan kerana ada maklumat pencerobohan haram.
“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini dan akan mengambil tindakan sekiranya terbukti ada pihak melakukan pembalakan haram,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Dalam perkembangan yang sama, Mohd Amar menjelaskan tanggapan pembalakan haram yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan orang asli di Gua Musang adalah tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan dan kenyataan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menyatakan harimau masuk kampung sebab faktor harimau itu kena penyakit menyebabkan haiwan itu merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa.
“Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak, bukan begitu,” katanya.
Selain itu katanya, pihaknya tidak ada perancangan untuk memindahkan orang asli memandangkan penduduk di situ lebih selesa berada di kampung mereka berbanding lokasi baharu.
“Pada masa sama, Perhilitan meneruskan usaha menjejaki dua ekor lagi harimau daripada tiga kesemuanya selepas seekor ditembak dan percaya masalah ini akan dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.