ADUN Pasir Bedamar dakwa ‘diperangkap’, dijemput makan Tahun Baharu Cina sebelum ditahan polis

0
101
Terence Naidu

CYBERJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu yang ditahan polis semalam selepas didapati positif dadah di sebuah kelab malam di Pulau Pinang mendakwa diundang oleh kawannya untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Terence mendakwa, ketika itu beliau dihidangkan sejenis minuman yang aneh dan hanya sempat minum seteguk.

“Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan. Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang, saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

“Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’ tetapi saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Terence mendakwa beliau dimaklumkan bahawa ketika ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan meletakkan sesuatu dalam gelas minumannya.

Ekoran insiden itu, katanya, sebaik sahaja dibebaskan, satu laporan polis telah dibuat kerana terdapat anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit. 

“Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat. 

“Berikutan dengan ini saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

“Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah.

“Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi  saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” ujarnya.

Sementara itu, Terence berkata, susulan insiden itu, beliau juga bersedia untuk dikenakan tindakan disiplin daripada DAP.

“Sebagai ADUN yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.

“Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here