
CYBERJAYA – Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank yang baharu berkuatkuasa 3 Januari lalu.
Menurut Agrobank dalam satu kenyataan, Tengku Ahmad Badli Shah mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam bidang perbankan dan kewangan.
“Berbekalkan 29 tahun pengalaman dalam bidang perbankan dan kewangan, sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan di Malaysia iaitu Pelaburan MARA Berhad (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Berhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, pengalaman luas Tengku Ahmad Badli Shah dalam perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perundangan dan pembiayaan patuh syariah, ditambah pula dengan kemahiran kepimpinan dan visinya yang kukuh akan mengukuhkan lagi kedudukan Agrobank sebagai institusi kewangan pertanian terkemuka di Malaysia.
“Pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan kejayaan Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021 – 2025 yang sedang berlangsung, sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara.
Pihak Lembaga Pengarah Agrobank juga yakin bahawa beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank, seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI),” katanya.