
CYBERJAYA – Sekurang-kurangnya enam daripada 12 sungai di Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka kini berada pada paras bahaya ekoran hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui Info Portal Banjir berkata, keadaan paras air yang tinggi itu berisiko mendatangkan banjir.
Katanya di Pahang, empat sungai menunjukkan pola meningkat melepasi tahap bahaya.
“Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera melepasi paras bahaya 30.5m iaitu bacaan terkininya adalah 32.7m, sementara Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis 66.13m (paras bahaya 65.5m).
“Bagaimanapun Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran menunjukkan trend penurunan namun tetap melepasi paras bahaya 28m iaitu bacaan terkininya 28.43m manakala Sungai Lipis di Benta, Lipis melebihi tahap bahaya 75m iaitu 75.31m,” menurut JPS.
Sementara itu. Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam, Selangor melebihi tahap bahaya dengan bacaan 2.6m berbanding tahap bahaya 2.3m setakat 8.30 pagi tadi.
Di Johor, dua sungai melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Segamat, Segamat mencatatkan aras air 9.36 meter (m) melepasi tahap bahaya 9.14m dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak merekodkan aras air 4.25m melepasi tahap bahaya empat meter.
Manakala di Negeri Sembilan, dua sungai melepasi tahap bahaya dan menunjukkan pola menaik iaitu Sungai Muar di Pekan Rompin.
“Jempol dengan aras air terkini setakat jam 8.45 pagi 37.11m berbanding tahap bahaya 33m dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah 63.68 m mengatasi tahap bahaya 63 m,” katanya.
Di Melaka pula, dua sungai melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah merekodkan bacaan 11.95 m mengatasi tahap bahaya 11.90 m dan Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah menunjukkan aras air 2.95m melepasi tahap bahaya dua meter.
Kelantan dan Terengganu pula masing-masing empat sungai pada tahap bahaya serta tiga lagi tahap waspada selain dua sungai di Terengganu merekodkan tahap amaran dan lapan lagi tahap waspada.