Akaun CIMB bermasalah: Pelanggan rasa teraniaya bila akaun dibekukan tanpa sebab

0
3350
CIMB

CYBERJAYA – Rasa ditindas, itulah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan situasi sejumlah pelanggan CIMB Bank seluruh negara apabila akaun mereka ‘dibekukan’ oleh pihak bank tanpa sebarang notis awal sejak Isnin lalu.

Bukan setakat itu, pelanggan juga telah diminta untuk menyelesaikan bayaran yang ‘tidak masuk akal’ berikutan ralat yang dilakukan oleh pihak bank dalam pemprosesan sehingga menyebabkan pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia, 33, berkata dia mengetahui bahawa akaun banknya telah dibekukan apabila tidak boleh membuat sebarang transaksi keluar pada pukul 3 petang, Isnin lalu.

“Saya hendak buat bayaran menggunakan aplikasi CIMB Click, tetapi semua transaksi tidak berjaya dan telah dimaklumkan bahawa wang di dalam akaun saya tidak mencukupi. Walhal, masih ada wang dalam akaun semasa saya.

“Lebih terkejut apabila lihat jumlah negatif wang yang dipaparkan dalam akaun saya. Apabila hubungi talian khidmat pelanggan CIMB, mereka minta saya selesaikan jumlah negatif wang berkenaan bagi membolehkan akaun saya diaktifkan semula,” katanya.

Seorang lagi pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Izzat, 27, berkata, dia juga tidak dapat membuat sebarang transaksi keluar, selain mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa dia perlu membayar wang dalam satu jumlah yang besar.

“Semalam, pihak CIMB keluarkan kenyataan media bahawa berlaku masalah teknikal sahaja. Tetapi, kenapa dalam masa sama pihak mereka hubungi pelanggan dan minta kami bayar jumlah wang yang tidak masuk akal itu.

“Paling terkejut, apabila pihak bank tolak duit yang ada dalam akaun saya dengan begitu senang sahaja. Kiranya, mereka sudah ‘rompak’ pengguna secara senyap-senyap,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang berdepan situasi sama Joe, 35, berkata jawapan yang diberikan oleh pihak bank tidak masuk akal tambahan pihak bank sendiri mengaku bahawa kesalahan berlaku dari pihak mereka.

“Bank bekukan akaun pelanggan tanpa notis, lepas itu minta kami buat bayaran dengan alasan bahawa itu duit mereka. Tindakan mereka ini mengalahkan ‘scammer’. Sekiranya benar berlaku kesilapan teknikal, bank patut bersemuka dan beri penjelasan kepada pelanggan mengenai situasi ini.

“Ramai yang ditindas dengan tindakan CIMB ini. Saya ada berpuluh-puluh pekerja dan akibat tindakan mereka saya tidak boleh bayar gaji mereka dan terpaksa minta mereka pinjam wang dengan ahli keluarga atau sahabat mereka dulu dan saya juga minta mereka berehat untuk tempoh seminggu dahulu,” katanya.

Jadi, saya minta semua pihak tolong teliti isu ini kerana hampir 11,000 pelanggan CIMB yang terkesan dan pelanggan semua kita perlu bersatu hati untuk memberi tekanan kepada pihak pengurusan CIMB untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera dan tidak perlu tunggu sehingga tarikh 2 Febuari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here