
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN).
Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat Pengarah JSJN berlangsung secara tertutup dalam istiadat Polis Diraja Malaysia di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di Maktab Polis Diraja Malaysia hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, pada majlis itu juga Timbalan Ketua Polis Negara Komisioner Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengarah JSJN kepada Ayob Khan.
“Penyerahan tugas itu disaksikan oleh saya, selaku Ketua Polis Negara. Saya dan seluruh warga PDRM mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ayob Khan atas pelantikan sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman serta SAC Datin Zalena Mohd Ariffin sebagai Pengerusi Perkep JSJN yang baharu.
“Saya yakin, dengan berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Ayob Khan mampu memikul amanah yang diberikan ini dengan cemerlang, sekali gus dapat memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan PDRM dalam mengharungi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis tersebut turut melibatkan penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (PERKEP) JSJN daripada Datin Zainah Othman kepada Senior Asisten Komisioner Datin Zalena Mohd Ariffin disaksikan oleh Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, selaku Pengerusi PERKEP Malaysia.
Semalam, Ayob Khan mengucapkan selamat tinggal kepada polis kontinjen Johor pada Majlis Perhimpunan Bulanan Januari 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sempena hari terakhirnya di kontinjen Johor.
Jawatan Ketua Polis Johor dipangku oleh Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin selama dua minggu sebelum disandang oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.