
PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini tampil menjelaskan kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.
Beliau yang muncul dalam satu sidang akhbar berkata, segala dakwaan bahawa beliau mengawal banyak syarikat adalah ‘bohong’ dan ia sengaja dilakukan bagi menjejaskan kredibiliti SPRM.
“Saya tidak melakukan kesalahan. Dakwaan bahawa terdapat konflik kepentingan pada pihak saya adalah tidak berasas.
“Akaun saham saya digunakan oleh adik saya. Saya tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang dibeli. Saham dibeli oleh abang saya dan syarikat-syarikat tidak ada kaitan dengan (mana-mana) siasatan SPRM,” kata Azam dalam sidang akhbar tersebut.
Tambah Azam lagi, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mula-mula membangkitkan dakwaan berkenaan kerana cuba mencemarkan nama baiknya, walaupun tidak mendedahkan pihak terbabit secara khusus.
Ketika ditanya mengapa beliau mengambil masa yang begitu lama untuk menjawab dakwaan yang pertama kali dibangkitkan pada pertengahan Disember, Azam berkata, beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Tetapi apabila saya diminta menjelaskan perkara itu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, saya memberi penjelasan terperinci kepada mereka,” katanya.
Beliau mengakui mungkin ada pihak tertentu yang marah dengan kerja yang dilakukannya dan cuba mencemarkan nama baiknya.
“Saya tidak tahu agenda mereka tetapi apa yang saya dapat lihat ialah mereka cuba merosakkan reputasi saya,” katanya lagi.