
CYBERJAYA – Satu jawatankuasa siasatan bebas yang diketuai oleh tokoh berwibawa seperti bekas hakim perlu ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, siasatan perlu dilakukan terhadap kes tersebut kerana kenyataan Pengerusi Lembaga Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berpuas hati terhadap penjelasan Azam sahaja tidak memadai.
“Justeru jawatankuasa ini mesti ditubuhkan segera bagi memberi keadilan kepada Azam selain menangani persepsi awam yang tidak terkawal terhadap integriti dan imej SPRM.
“Ia juga mampu menangani tohmahan bahawa isu ini merupakan satu usaha terancang pembunuhan karakter Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jufitri berkata, MBM mengesyorkan penubuhan jawatankuasa tersebut memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam dan imej negara bagi menangani persepsi serong.
Kelmarin, LPPR memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Abu Zahar berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.
Justeru, beliau berkata, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut.
Azam sebelum ini dituduh mempunyai sejumlah 2 juta saham daripada syarikat-syarikat penyenaraian awam sejak 2016.
Bagaimanapun, Azam menafikan tuduhan tersebut dan tidak menolak akan mengambil tindakan-undang terhadap pihak yang mencemar imejnya.
“Saya telah menjelaskan kepada LPPR bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau, dan saya tiada kepentingan atau mendapat faedah ke atas saham yang dibeli itu.
“Saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan polis, SPRM.
“Akhirnya, kesemua saham tersebut telah pun dipindahkan kepada akaun saham beliau,” katanya dalam satu Sidang Media Khas SPRM kelmarin