Azan pertama dilaungkan di BBISKL hari ini

0
134
Adam Zakaria melaungkan azan pada hari pertama Brainy Bunch di BBISKL.

PADA hari ini, tepat pukul 3.33 petang, azan pertama dilaungkan di Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL), iaitu kampus baharu sekolah antarabangsa Brainy Bunch.

Laungan azan itu menandakan secara rasminya Brainy Bunch mengambil alih bangunan International School Kuala Lumpur (ISKL) di Taman Melawati sebagai kampus baharu cawangan Kuala Lumpur.

Pada hari yang cukup bersejarah buat Brainy Bunch hari ini turut diadakan majlis menaikkan bendera rasmi Brainy Bunch dan juga bendera Kumpulan Malakat Eco di bangunan sekolah berkenaan.

Bendera Brainy Bunch dinaikkan oleh Pengetua BBISKL Samsudeen Abd Aziz manakala, bendera Kumpulan Malakat Eco dinaikkan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor.

Ustaz Masridzi Sat mengimamkan solat hajat di BBSIKL hari ini

Turut diadakan pada hari ini di bangunan BBISKL ialah solat hajat yang diimamkan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat yang juga merupakan penasihat agama Kumpulan Malakat Eco.

Hadir sama memeriahkan majlis pembukaan BBISKL hari ini ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pengarah Eksekutif Brainy Bunch ASEAN dan Raudhah College, Noriha Mohd. Zain.

Bekas kampus ISKL yang terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) (arah Kampung Klang Gate) itu menempatkan ruang pembelajaran seperti bilik kelas, audiotorium, bilik seni dan kemudahan aktiviti luar seperti padang bola, kolam renang dan gelanggang bola keranjang.

Bangunan ISKL yang dirasmikan pada 1992 itu mula dikosongkan pada 2018 selepas perpindahan sekolah yang berpangkalan di Ameria Syarikat itu ke kampus di Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Toqqi ketika berucap pad amajlis pembukaan BBISKL hari ini

Sementara itu, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi ketika berucap pada majlis menaikkan bendera Brainy Bunch hari ini berharap BBISKL menjadi salah satu tempat atau institusi pendidikan terbaik di negara ini.

“Saya doakan yang terbaik untuk Brainy Bunch, ini sebenarnya petanda luar biasa apabila kita mendapat tempat secantik ini (dahulu ISKL) untuk laksanakan agenda memartabatkan agama kita.

“Saya juga berharap semua dapat memberikan usaha yang terbaik untuk kita mendidik masyarakat, yang paling penting ialah untuk mendidik jiwa agar melakukan perkara ke arah kebaikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here