Badan siasatan pasukan Harimau Malaya dedah punca kekalahan pada Piala AFF

0
40
Dell Akbar (dua dari kiri) pada sidang media Banda Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya hari ini.

PETALING JAYA – Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya hari ini mengemukakan 10 hasil ‘bedah siasat’ yang dipercayai menjadi punca kekalahan pasukan negara dalam Piala AFF Suzuki 2020 bulan lalu.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan yang mempengerusikan badan siasatan itu berkata, punca prestasi merosot dan cadangan langkah penambahbaikan itu adalah hasil daripada siasatan yang dilakukan sejak sebulan lalu.

Beliau bagaimanapun menyatakan kekecewaan kerana siasatan yang dilakukan bersama enam lagi penal itu tidak menemukan keputusan yang ‘solid’ kerana ketiadaan rekod atau laporan yang komprehensif dari pihak kejurulatihan dan pengurusan pasukan.

“Kelemahan utama yang kami dapati daripada siasatan ini adalah ketiadaan laporan secara teknikal yang dapat membawa kepada punca kegagalan pasukan,” katanya pada sidang media Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini.

Dell Akbar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada bekas Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, masalah utama yang dikenal pasti adalah ketiadaan pemain harapan dalam perlawanan di Singapura pada bulan lalu itu.

Bagaimanapun kata, dapatan yang diperolehi mengenai perkara itu bercanggah dengan kenyataan yang diberikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Katanya, masalah kekurangan barisan utama juga menganggu jadual latihan sekaligus menjejaskan persediaan pasukan untuk beraksi dengan cemerlang.

“Tiada apa yang boleh dilakukan sangat oleh Cheng Hoe tanpa jumlah pemain yang cukup untuk latihan penuh.

“Saya dimaklumkan pasukan hanya melakukan satu hari latihan sahaja, itupun dengan hanya 70 peratus pemain. Itu tidak cukup,” katanya yang mengakui faktor penularan Covid-19 turut menjadi punca kekurangan latihan.

Katanya, dengan masa latihan yang terhad, pasukan secara keseluruhannya mempunyai kelemahan untuk menguasai strategi dan corak permainan sekaligus menjejaskan ‘harmoni’ dalam pasukan.

Selain itu menurut Cheng Hoe katanya, pasukan negara juga tidak mempunyai perbincangan dalam menetapkan sasaran pencapaian secara berperingkat mengikut kategori perlawanan sebagai persediaan beraksi di peringkat tinggi.

Katanya, pemain pasukan juga dibatasi dengan aspek fizikal yang tidak mencapai standard beraksi kerana kurangnya pendedahan adan latihan dengan pasukan luar yang setanding.

“Aspek fizikal yang agak terhad, menyebabkan pemain tak ‘perform’ dalam pertemuan dengan Indonesia dan Vietnam.

“Kalau kita tengok pasukan negara lain, Myanmar misalnya mereka berlatih sampai ke luar negara selama berbulan-bulan sebelum ke AFF,” katanya.

Dalam pada itu, Dell Akbar turut menasihatkan FAM supaya memperkasakan barisan kejurulatihan dan pentadbiran pasukan dan memberi tumpuan kepada pasukan yang akan beraksi di peringkat antarabangsa.

“Ada banyak perkara yang perlu dilihat semula oleh FAM termasuklah soal kebajikan, misalnya permakanan pemain yang tidak diberikan perhatian secara profesional oleh ahli nutrisi.

“Inilah hasil dapatan kami daripada siasatan, terpulang kepada FAM untuk pakai atau tidak cadangan ini, sama ada ia akan menambah nilai atau sebaliknya,” katanya.

Badan bebas itu dianggotai bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa, bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam, bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here