Baik pulih dan bina baharu rumah mangsa banjir sudah bermula melalui Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

0
40
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengadakan sidang akhbar bersama hari ini untuk pengumuman Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memulakan kerja-kerja baik pulih dan juga bina baharu kediaman mangsa-mangsa banjir di seluruh negara melalui program Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Proses baik pulih dan bina baharu itu dilaksanakan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah memulakan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu kediaman mangsa banjir sejak Sabtu lalu di seluruh negara.

Beliau berkata, gerak kerja itu dilakukan selepas pihaknya menerima data mangsa banjir yang terjejas daripada kerajaan negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Setakat ini, data yang diperolehi membabitkan sebanyak 1,879 rumah untuk dibaik pulih dan 156 bina baru. Angka berkenaan kemungkinan bertambah berdasarkan permohonan baharu.

“KPLB dan KPKT masing-masing diperuntukkan RM50 juta, jadi peruntukan keseluruhan setakat ini ialah sebanyak RM100 juta bagi baik pulih dan bina baharu rumah bangsa banjir ,” katanya.

Sidang media di Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Naina Merican di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 bagi kos bina baharu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, KPKT akan bertangungjawab bagi rumah-rumah kategori bandar di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala KPLB di kawasan luar bandar.

“Setakat ini, terdapat 8,257 jumlah rumah yang terjejas akibat banjir di mana 118 adalah pembinaan baharu manakala, 8,139 baik pulih. Angka-angka ini bersifat dinamik dan dijangka bertambah memandang masih ada negeri yang dilanda banjir.

“Proses baik pulih rumah dijangka mengambil masa sehingga dua minggu manakala, bagi bina baharu pula mengambil masa empat hingga enam bulan. Bagi bina baharu, ia melibatkan pembinaan rumah sahaja tanpa kelengkapan dalaman,” katanya.

Dalam pada itu katanya, semua proses baik pulih dan bina baharu rumah mangsa banjir melalui Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia akan melibatkan kontraktor tempatan bag kedua-dua kementerian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here