
Lee Zii Jia
CYBERJAYA – Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia telah menghantar surat rayuan susulan hukuman penggantungan daripada mewakili negara yang dikenakan oleh Persatuan Badminton Negara (BAM) terhadapnya.
Menurut BAM, sehubungan itu pihaknya akan bertindak segera bagi menyelasaikan isu tersebut.
“BAM mengesahkan telah menerima surat rayuan daripada Zii Jia hari ini. Sebagai badam indul badminton negara, BAM akan melihat isu tersebut dengan segera bagi mencari penyelesaian.
“Tugas BAM bukan sahaja untuk menjaga sukan badminton tetapi juga pemain, nilai dan mutu badminton demi negara,” katanya.
Dalam pada itu, menurut BAM, pihaknya juga memahami kemarahan ramai pihak berhubung hukuman yang dikenakan oleh BAM terhadap pemain badminton itu.
Katanya, sebagai badan sukan yang menyelia perjalanan sukan badminton, BAM perlu mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan.
Berikutan itu, katanya, sebarang bentuk hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan prosedur ditetapkan BAM.
Baru-baru ini, BAM menjatuhkan hukuman dengan tidak membenarkan Zii Jia mewakili negara dalam mana-mana kejohanan badminton selepas pemain itu memutuskan untuk keluar daripada BAM.
Susulan hukuman itu, semua peminat badminton termasuk di luar negara menzahirkan kemarahan terhadap BAM di atas hukuman yang dianggap sangat keterlaluan.-MT