Banjir: Baucar dan wang tunai RM4,000 diagihkan bermula esok

0
82
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengagihkan Abntuan Wang Ishan (BWI) kepada mangsa banjir

BERA – Bermula esok, mangsa banjir di seluruh negara akan menerima dua sumbangan berbentuk baucar bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan itu adalah tambahan daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diagihkan sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, baucar yang ditawarkan ialah baucar untuk membaiki kenderaan bernilai RM1,000 dan RM500 lagi bagi pembelian barangan elektrik.

“Bantuan baucar dan wang tunai ini akan diagihkan bermula esok. Wang tunai ini akan diagihkan melalui tiga kaedah, sama ada hantar ke rumah mangsa atau kumpulkan mereka atau disalurkan melalui akaun bank masing-masing.

“Pihak Pejabat Daerah dan Tanah di setiap negeri akan menyelaraskan perkara ini termasuk menyenaraikan nama-nama bengkel dan kedai elektrik berdekatan bagi memudahkan mangsa banjir untuk tebus baucar,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 478 mangsa banjir menerima sumbangan wang ihsan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan memutuskan untuk memberikan bantuan wang tunai tersebut bagi memudahkan mangsa banjir membeli sendiri keperluan barangan asas yang rosak.

“Saya difahamkan, ada syarikat-syarikat, badan korporat termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) banyak juga yang menyumbang barangan elektrik kepada mereka ini. Jadi, kerajaan memutuskan untuk memberikan wang tunai supaya mereka boleh beli barangan apa yang diperlukan.

“Terpulanglah kepada mereka untuk beli apa yang mereka perlukan. Kita cuma bantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” kata Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here