
ALOR GAJAH – Keadaan banjir di Melaka semakin pulih selepas tujuh daripada 23 pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pagi ini.
Penutupan PPS itu juga menyaksikan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,265 mangsa berbanding 2,674 mangsa semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa ditempatkan di 16 PPS di sekitar Melaka.
“Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah menunjukkan pengurangan angka mangsa banjir. Namun, daerah Jasin merekodkan peningkatan mangsa yang terpaksa dipindahkan ke PPS.
“Situasi itu kerana Sungai Kesang di Telok Rimba Jasin masih merekodkan paras air yang tinggi menyebabkan berlaku limpahan air di kediaman penduduk.
“Antara kawasan yang baharu terjejas adalah di Kampung Parit Putat Benteng (Jalan Janda Berhias), Parit Perawas dan Parit Sialang Benteng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, PPS di Sekolah Menengaah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai merekodkan mangsa teramai di daerah Jasin iaitu 319 mangsa membabitkan 85 keluarga.
“Bagi daerah Melaka Tengah, Sekolah Kebangsaan Krubong masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 320 mangsa diikuti SK Taman Merdeka dengan 145 orang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, selain membuat penyelarasan mangsa banjir, pihaknya juga membuat pemantauan di kawasan-kawasan terjejas termasuk membantu mangsa berdepan pascabanjir.