Banjir: KWP gerak 60 sukarelawan di Johor, Melaka

0
11
Shahidan Kassim melawat salah sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sejak semalam menggerakkan 60 orang sukarelawan melalui dua agensinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi misi bantuan banjir di Johor dan Melaka.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, misi selepas bantuan di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada operasi membantu, menyelamatkan mangsa dan membersih kawasan yang terkesan.

“Atas semangat Keluarga Malaysia, kali ini pasukan KWP bergerak ke Selatan iaitu ke Segamat, Johor serta Melaka untuk menyumbang tenaga dan mengerahkan aset-asetnya.

“Agensi berkenaan telah berada di dua negeri tersebut sejak semalam (3 Januari) serta membuka Pusat Kawalan Operasi Banjir bagi menyelaras serta mengatur gerak kerja bersama pasukan pengurusan bencana daerah dan negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahidan berkata, dalam misi bantuan tersebut, DBKL menggerakkan lima buah lori, sebuah bot besar, dua pacuan empat roda dan dua buah van ke Segamat.

Manakala untuk misi di Melaka, PPj menggerakkan sebuah lori, enam pacuan empat roda, beberapa buah bot kecil, 15 unit peralatan pembersihan waterjet dan pam air.

“KWP turut mengedarkan bantuan berupa bakul makanan kepada keluarga yang terjejas banjir di kawasan tersebut.

“Atas dasar keprihatinan, KWP bersedia untuk terus menghulur tenaga, bantuan dan sumbangan merentas Wilayah Persekutuan serta meningkatkan bantuan dari semasa ke
semasa meskipun negeri-negeri yang dibantu itu bukan di bawah seliaan kementerian ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here