
SEGAMAT – Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta bagi membina ban baharu di Sungai Muar bagi menyelesaikan isu banjir di Segamat.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliu telah mendengar pembentangan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran mengenai situasi di daerah berkenaan.
“Saya sudah dengar pembentangan JPS, jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.
“Ban pecah di Segamat berikutan tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang mengurangkan banjir di daerah ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau PPS Balairaya Kampung Tandong hari ini.
Perdana Menteri hari ini, meluangkan masa lebih sejam di PPS berkenaan selain turut diberi taklimat oleh JabataPengairan Segamat.
Beliau turut menyampaikan wang ehsan kepada 26 ketua keluarga di PPS berkenaan, membabitkan RM1,500 yang mana RM1,000 adalah sumbangan kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang menghadapi itu secara mendesak dan kritikal.
“Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana wujud keperluan mendesak.
“Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara,” katanya.