Banjir: Tabika KEMAS dijadikan Pusat Sehenti semak kelayakan bantuan pembaikan rumah

0
29
Keadaan sebuah rumah yang rosak teruk akibat dilanda banjir di Hulu Langat baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjadikan premis dan Tabika KEMAS sebagai Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.

“KPLB memutuskan untuk menjadikan premis dan Tabika KEMAS di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

“Sebagai permulaan KPLB akan berada di Tabika KEMAS Bukit Changgang, Banting Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahdzir, semua permohonan Ketua Isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, KPLB juga akan menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK ) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah.

“Tempoh pembaikan semula bergantung kepada tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan bergantung kepada kesediaan tapak” katanya.

Sementara itu, katanya, di bawah itu KPLB, peruntukan sebanyak RM15,000 disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 untuk bina baharu rumah di Semenanjung dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak

“Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan bahawa hari ini KPLB telah memulakan penilaian kerosakan dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here