
CYBERJAYA – Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung bantuan untuk mangsa banjir sehingga RM10,000 merupakan satu tindakan tepat kerana dibuat secara menyeluruh dengan turut memberi manfaat kepada bukan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan, ia sekali gus dapat membantu semua mangsa banjir yang sangat terkesan akibat musibah yang berlaku baru-baru ini.
“Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000 malah amaun lebih besar daripada itu jika ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman.
“Ini menjadikan jumlah bantuan langsung daripada kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh bernilai sehingga sebanyak RM61,000.
“Sekaligus ia mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam dari masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini timbul kekhuatiran bahawa antara tawaran yang telah diumumkan lebih awal iaitu pinjaman daripada Tekun dan Bank Simpanan Nasional walaupun pada kadar sifar peratus faedah dan moratorium automatik, akan menambah hutang mangsa banjir.

Bagaimanapun, katanya, pandangan itu telah diambil kira dan sebagai tambahan kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan daripada kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.
Beliau berkata, dengan pengumuman itu kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab sesebuah kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara.
Mengulas lebih lanjut, beliau turut menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri yang akan memberi keutamaan pada tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat.-MT