Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia tidak perlu dipohon, boleh terus tebus

0
64
Datuk Seri Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sebanyak RM1,000.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, untuk memanfaatkan baucar diskaun tersebut, pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat.

Katanya, pengurangan kos pembaikan akan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

“Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.

“Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan.

Senarai syarikat automatif yang mengambil bahagian setakat ini

Katanya, tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis dan pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Mengulas lanjut, katanya, inisiatif itu merupakan usahasama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga mengalu-alukan langkah syarikat Perodua dan Proton untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti.

Pada masa sama, katanya, Perodua juga telah menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan juga menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif yang lebih baik untuk pelanggannya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here