
CYBERJAYA – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memantau standard pengiktirafan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dikeluarkan oleh univerisiti-universiti tempatan.
Beliau berkata, kementerian berkenaan perlu meneliti kaedah pengiktirafan graduan susulan penganugerahan 398 sijil PhD kepada para graduan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
“Saya hairan kenapa UPM menganugerahkan hampir 400 PhD tahun ini, walaupun universiti terbaik dunia hanya kurang 20 penerima.
“Sebelum ini ranking universiti Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Iskandar berkata, berdasarkan maklumat yang dinyatakan melalui Berita Majlis Konvokesyen ke 44 UPM pada 13 Januari lalu, pihak UPM perlu tampil menjelaskan perkara itu.
Untuk rekod, majlis konvokesyen ke-44 UPM yang diadakan baru-baru ini melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang).
Menurut beliau, pengiktirafan sijil tertinggi akademik itu tidak mungkin dapat dikeluarkan sebanyak itu selepas mengambil kira kemampuan universiti-universiti lain di dunia, termasuk yang mempunyai ranking lebih baik dalam Times Higher Education.
“Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan?
“Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?,” katanya.
Beliau yang mengambil Universiti Cambridge dan 10 universiti terbaik dunia berkata, penganugerahan PhD pada setiap tahun biasanya tidak melebihi 20 graduan
Sehubungan itu, beliau meminta pihak UPM menjelaskan apakah kualiti atau taraf PhD yang dikeluarkan setanding dengan PhD universiti lain.
“Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?” ujarnya lagi.
Sebagai institusi yang bertanggungjawab memberi pengiktirafan kepada graduan, universiti di Malaysia tidak sepatutnya berkompromi sehingga sanggup merendahkan standard akademiknya.
“Sekiranya kualiti PhD itu dikompromi, maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka,” katanya.