
CYBERJAYA – Institusi pendidikan Brainy Bunch berjaya mendapatkan tawaran untuk mengambil alih banggunan International School Kuala Lumpur (ISKL) dengan kontrak sewaan selama 15 tahun.
Menurut Presiden Kumpulan Malakat Eco, Coach Mohd Fadzil Hashim, Brainy Bunch International Islamic Montessori School Kuala Lumpur (BBISKL) dijangka memulakan sesi persekolahan di bangunan baharu itu pada 1 Jun tahun ini.
“Alhamdulillah! Setelah hampir dua tahun berusaha, Brainy Bunch berjaya mendapatkan tawaran untuk membuka Brainy Bunch International Islamic Montessori School Kuala Lumpur dengan kontrak sewaan 15 tahun Banggunan ISKL.
“Ini adalah suatu kejayaan besar dalam mengangkat imej dan meningkatkan keupayaan Sekolah Islam Antarabangsa,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Coach Fadzil berkata, bangunan itu terletak di kawasan seluas tujuh ekar di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
Selain itu, katanya, terdapat pelbagai kemudahan lain di sekolah itu antaranya kolam renang, padang yang luas, auditorium dan lain-lain.
Beliau berkata, dengan segala kemudahan itu akan membolehkan ibu bapa di sekitar Kuala Lumpur mendapatkan sistem pendidikan terbaik daripada Brainy Bunch.
Sementara itu, Coach Fadzil berkata, pendaftaran awal akan dibuka kerana tempat yang disediakan adalah terhad.
Brainy Bunch yang terkenal dengan pendidikan awal kanak-kanak kini mempunyai sebanyak 102 cawangan di seluruh negara dengan kampus utamanya terletak di Cyberjaya.
Selain itu, Brainy Bunch juga mempunyai cawangan di luar negara seperti Singapura, Brunei, Palestin dan Indonesia.
Untuk pelan jangka masa hadapan, Brainy Bunch kini mengintai peluang untuk meluaskan pasaran di negara Eropah dan Asia lain.-MT