Brainy Bunch angkat martabat sekolah agama setaraf sekolah antarabangsa

0
139
Bendera Brainy Bunch dan Kumpulan Malakat Eco dinaikkan secara rasmi di Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL) cawangan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch telah mengangkat martabat sekolah agama ke peringkat tertinggi setaraf sekolah antarabangsa.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor berkata, ia dibuktikan melalui usaha-usaha yang dilakukan Brainy Bunch ketika ini.

Adzhar berkata, Brainy Bunch sentiasa memberikan yang terbaik termasuk dalam menubuhkan dan memperbanyakkan cawangan sekolah antarabangsa di negara ini.

“Sama-sama kita doakan kejayaan Brainy Bunch, ini adalah cara kita (angkat martabat sekolah agama)….selama ini sekolah agama dipandang lekeh, kita kena akui perkara itu.

Bendera Brainy Bunch dan Kumpulan Malakat Eco berkibar di BBISKL

“Alhamdulillah, kita di Brainy Bunch mengangkat martabat sekolah agama ke peringkat tertingggi setaraf sekolah antarabangsa. Saya sangat berharap dapat sokongan seluruh rakyat malaysia untuk menyokong perjuangan kami demi agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menaikkan bendera Brainy Bunch di Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL), iaitu kampus baharu sekolah antarabangsa Brainy Bunch.

Yang hadir sama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pengarah Eksekutif Brainy Bunch ASEAN dan Raudhah College, Noriha Mohd. Zain.

Untuk makluman, Institusi pendidikan montessori, Brainy Bunch hari ini secara rasmi mengambil alih bangunan International School Kuala Lumpur (ISKL) di Taman Melawati di sini sebagai kampus baharu cawangan Kuala Lumpur.

Semalam, pengambil alihan premis melalui kontrak sewaan itu berlangsung dalam majlis penyerahan kunci sekolah berkenaan di antara Adzhar dan Katie Milton, selaku Pegawai Pentadbiran Pusat ISKL.

Solat hajat diadakan sempena hari pertama BBISKL.

Mengulas mengenai kampus baharu itu, Adzhar berkata, kampus berkenaan dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini dan ia menjadi peluang untuk mengembangkan sistem pendidikan montessori Islam.

Dalam pada itu, Adzhar meminta orang ramai terutama ibu bapa pelajar, pejuang dan penyokong Brainy Bunch dan Malakat Eco mendoakan kejayaan pembukaan kampus sekolah antarabangsa Brainy Bunch yang baharu itu.

Dalam perkembangan sama, Adzhar memaklumkan, Brainy Bunch ketika ini turut mendapat beberapa tawaran untuk mengambil alih sekolah antarabangsa dan terbaharu ialah tawaran dari Johor.

“Brainy Bunch ada mendapat jemputan ambil alih sekolah antarabangsa di sekitar negara kita sendiri, salah satunya di johor. Setakat ini, kita masih menimbang perjalanan dan masa yang sesuai,” katanya.

Untuk rekod, institusi pendidikan awal Brainy Bunch kira-kira 13 tahun lalu kini mempunyai 103 cawangan di seluruh negara. Brainy Bunch juga mempunyai cawangan di Turki, Singapura, Brunei, Palestin dan Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here