Brainy Bunch buka cawangan di Taman Melawati, beroperasi Jun tahun ini

0
5431
Adzhar Mohd Noor (empat dari kanan) bersama pengurusan Brainy Bunch dan Malakat Eco pada majlis penyerahan kunci bangunan milik ISKL di Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan montessori, Brainy Bunch hari ini secara rasmi mengambil alih bangunan International School Kuala Lumpur (ISKL) di Taman Melawati di sini sebagai kampus baharu cawangan Kuala Lumpur.

Pengambil alihan premis melalui kontrak sewaan itu berlangsung dalam majlis penyerahan kunci sekolah berkenaan di antara Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor dengan Katie Milton, selaku Pegawai Pentadbiran Pusat ISKL, hari ini.

Adzhar berkata, kampus yang akan dinamakan Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL) itu dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini.

“Alhamdulilllah, hari ini merupakan hari yang penuh ’emosional’ kepada kami warga Brainy Bunch dan Kumpulan Malakat Eco atas kejayaan memiliki kemudahan sekolah yang cukup besar dan sempurna.

“Peluang ini akan digunakan sepenuhnya untuk mengembangkan sistem pendidikan montessori Islam seperti mana yang diperjuangkan oleh Presiden kami, Coach Fadzil.

“Pada hari ini kami telah melawat kawasan sekolah dan esok akan kembali semula untuk majlis mengibar bendera Brainy Bunch sebagai simbolik pemilikan kampus baharu.

“Dengan izin Allah. Saya mewakili Coach Fadzil akan melakukan yang terbaik di sini seperti yang telah dilakukan di kampus Cyberjaya,” katanya kepada Malakat Tribune di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Eksekutif Brainy Bunch ASEAN dan Raudhah College, Noriha Mohd. Zain.

Adzhar Mohd Noor

Bekas kampus ISKL yang terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) (arah Kampung Klang Gate) itu menempatkan ruang pembelajaran seperti bilik kelas, audiotorium, bilik seni dan kemudahan aktiviti luar seperti padang bola, kolam renang dan gelanggang bola keranjang.

Bangunan ISKL yang dirasmikan pada 1992 itu mula dikosongkan pada 2018 selepas perpindahan sekolah yang berpangkalan di Ameria Syarikat itu ke kampus di Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Adzhar berkata, BBISKL akan memulakan operasi secara berperingkat-peringkat dengan pendidikan tadika (kindy) dan sekolah permulaan (elementary) sebelum dibuka sepenuhnya untuk pendidikan Menengah.

“Berdasarkan taklimat oleh Mrs Katie, sekolah ini mempunyai kapasiti antara 600 hingga 800 orang pelajar dan kita jangka Brainy Bunch juga akan beroperasi dalam standard yang sama iaitu sekitar 20 orang dalam satu bilik kelas,” katanya.

Dalam pada itu, Adzhar meminta orang ramai terutama ibu bapa pelajar, pejuang dan penyokong Brainy Bunch dan Malakat Eco mendoakan kejayaan pembukaan kampus sekolah antarabangsa Brainy Bunch yang ketiga itu.

Untuk rekod, institusi pendidikan awal Brainy Bunch yang diasaskan Coach Fadzil kira-kira 13 tahun lalu kini mempunyai 103 cawangan di seluruh negara. Brainy Bunch juga mempunyai cawangan di Singapura, Brunei, Palestin dan Indonesia.

Untuk pelan jangka masa hadapan, Brainy Bunch kini mengintai peluang untuk meluaskan pasaran di negara-negara Eropah dan penyenaraian di NASDAQ.

Adzhar Mohd Noor (duar dari kiri ) dan Noriha Mohd. Zain Noor (kanan) menerima kunci bangunan sekolah dari wakil ISKL, Katie Milton.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here