
CYBERJAYA – Pelanggan CIMB masih menunggu kenyataan rasmi pihak bank mengenai isu pembekuan 11,000 akaun yang dibekukan tanpa sebarang notis sejak Isnin lalu.
Lebih membimbangkan apabila ada segelintir pelanggan yang memaklumkan wang yang ada di dalam akaun semasa mereka telah diambil oleh pihak bank secara senyap-senyap tanpa sebarang persetujuan dan pemakluman.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Wani, 35, berkata wang yang berada di dalam akaun semasanya telah berkurangan namun akaunnya masih belum diaktifkan sejak ia dibekukan Isnin lalu.
“CIMB sudah ambik wang dalam akaun semasa tetapi saya masih tidak boleh buat sebarang transaksi kerana akaun masih dibekukan. Saya perlu bayar semua tunggakan hutang yang mana memang tidak pernah saya buat dengan pihak bank dahulu.
“Aduan kepada pihak CIMB dan Bank Negara telah dibuat tetapi masih belum dapat sebarang maklum balas. Jawapan yang kami terima dari pihak bank adalah sama iaitu kami perlu bayar semua hutang yang tidak masuk akal,” katanya.
Katanya, tindakan pihak bank yang ‘merompak’ pelanggan itu adalah sangat membimbangkan tambahan wang yang ada di dalam akaun itu adalah bagi kegunaan membeli keperluan asas keluarga.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan Syahir, 23, berkata dia bimbang sekiranya wang di dalam akaunnya masih dibekukan, dia tidak boleh membuat bayaran yuran pengajiannya pada semester depan.
“Walau apa masalah sekali pun, pihak bank tidak boleh sesuka hati bekukan akaun pelanggan, sudahlah sekarang sedia susah kerana COVID-19, bank pula tindas kami macam ini.
“Kami sudah buat laporan tetapi tiada apa-apa tindakan lagi sekarang. Suara kami tidak diendahkan kerana kami rakyat biasa, cuba yang dianiaya itu golongan VVIP, urusah cepat sahaja selesai,” katanya.
Semua pelanggan yang dibekukan akaun mereka meminta pihak-pihak yang mempunyai ‘suara’ untuk membantu menyuarakan keluhan yang sedang dihadapi mereka hampir seminggu.