Civic baharu generasi ke-11 dilancarkan, harga bermula RM125k

0
98
Model baharu Civic generasi ke-11. Kredit gambar Pandu Laju.com

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia hari ini melancarkan model baharu Civic yang memasuki generasi ke-11 ke pasaran tempatan.

Model baharu itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu E yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM125,634.64, manakala varian V dari RM138,043.36 dan varian paling mencuri tumpuan, RS boleh memilikinya dengan harga bermula RM144,350.09.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo, berkata pengenalan model itu dijangka merancakkan lagi pasaran dan mengekalkan posisinya sebagai model nombor satu dalam segmen C.

“Sewaktu proses pembangunan Civic Generasi ke-11 serba baharu ini, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda memberikan segala usaha dan idea mereka bentuk bahagian luaran, dalaman dan pakej keseluruhan kereta ini.

“Model ini adalah terjemahan unsur-unsur klasik disamping menitikberatkan nilai Honda yang berterusan.

“Ia hadir dengan reka bentuk yang bergaya, ciri dalaman premium dan prestasi terbaik dalam kelasnya,” katanya lapor BH Online
semasa melancarkan model itu di sini hari ini.

Chujo berkata, dengan pelancaran model yang menarik itu, Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan.

Harga model Civic baharu

Civic Generasi ke-11 menggunakan enjin 1.5L i-VTEC pengecas turbo yang dipertingkatkan yang kini didatangkan standard untuk semua varian.

Ia menawarkan pemanduan yang menyeronokkan dengan tenaga maksimum 182PS dan tork terbaik di dalam segmennya iaitu 240Nm, menjadikan enjin itu lebih berkuasa dari enjin 2.4L.

Civic serba baharu juga mempunyai mod pemanduan baharu iaitu ECON, Normal dan Sport yang mudah dipilih menggunakan suis Drive Mode.

Honda mempertingkatkan ruang dalaman Civic serba baharu dengan menawarkan konsep lebih menyegarkan dengan menggunakan rekabentuk berkonsepkan suasana dan rasa terbuka.

Fokus utama ialah untuk memberikan penglihatan visual yang jelas melalui ruang cermin lebih luas.

Ciri yang menjadi tarikan utama ialah penggunaan panel Honeycomb Mesh yang berjaya membawa rasa premium pada papan pemukanya.

Civic serba baharu juga mempunyai reka bentuk tempat duduk baharu yang memberikan sokongan posisi badan lebih baik ketika memandu.

Varian RS didatangkan dengan tempat duduk kombinasi kulit dengan jahitan benang merah berserta stereng balutan kulit dengan, lapisan siling hitam, pedal kaki sport dan pencahayaan ruang kaki.

Varian RS dan V dilengkapi dengan paparan audio berukuran sembilan inci yang boleh dipadankan dengan Apple CarPlay serta Android Auto, serta dua slot USB di bahagian hadapan.

Antara ciri-ciri standard untuk semua varian ialah Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran tujuh inci, dua slot USB untuk tempat duduk belakang dan pengelap cermin pintar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here