
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 3,229 kes positif Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif terkini jangkitan Covid-19 di negara ini adalah 2,817,163 kes.
Selain itu juga, sembilan kes kematian dicatatkan setakat Selasa dengan tiada kes brought-in-dead (BID) direkodkan dalam tempoh tersebut.
Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 terkini berjumlah 31,818.
Sementara itu, seramai 127,066 individu dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 pada Selasa, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 9,744,147 atau 41.6 peratus setakat 11.59 malam tadi (Selasa).
Berdasarkan data KKM menerusi laman CovidNow, seramai 22,909,192 individu atau 97.9 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 23,188,245 individu atau 99.1 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,774,961 individu atau 88.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,861,715 individu atau 91 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.