
CYBERJAYA – Sebanyak 3,251 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di dalam negara kepada 2,783,331 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding kes semalam iaitu 3,381 kes.
Beliau menambah, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital seluruh negara bagi tujuh hari lepas juga menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 4.8 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya.
Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.
Sementara itu, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di Malaysia menghampiri 100 peratus apabila seramai 22,878,955 individu atau 97.7 peratus telah lengkap divaksin, setakat 11.59 malam tadi.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Covidnow menunjukkan, dalam tempoh sama sebanyak 98.9 peratus atau 23,164,441 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,764,980 individu atau 87.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,855,467 atau 90.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 16 kes kematian direkodkan semalam dengan dua daripadanya adalah kematian di luar hospital.
Daripada keseluruhan 16 kes kematian semalam, sebanyak empat direkodkan di Johor; Sabah (tiga), Kedah dan Selangor masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala masing-masing satu kes di Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu.