
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan 4,066 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu perkongsian melalui media sosial berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 negara mencecah 2,840,225 kes.
Semalam, KKM melaporkan kes baharu jangkitan Covid-19 berada di bawah paras 4,000 dengan 3,214 kes direkodkan.
Sementara itu, pengesanan kluster baharu pendidikan di Kedah dan Melaka terus mencetuskan kebimbangan.
Di Kedah, sebanyak tiga lagi kluster dikesan sejak semalam dan hari ini dengan 40 kes positif Covid-19 membabitkan pelajar Kolej Vokasional Kulim yang diisytiharkan sebagai Kluster Dah Bunga Junjong.
Semalam, Kluster Dah Jalan Stadium di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary melibatkan 56 kes.
Satu lagi adalah Kluster Dah Batu 16 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah (Pondok Pak Ya), Yan yang merekodkan 19 kes.
Secara keseluruhan, sebanyak 11 kluster dikesan di Kedah, setakat ini.
Sementara itu di Melaka, empat kluster dilaporkan masih aktif iaitu Kluster Jalan Kemendor, Jasin melibatkan Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang menjangkiti 39 pelajar dan Kluster Jalan Tun Telani membabitkan 135 pelajar di KV Melaka Tengah.