
KAJANG – Cubaan seorang Orang Kena Tuduh (OKT) untuk melarikan diri semasa menghadiri sesi ujian saringan Covid-19 gagal selepas berjaya diberkas semula tidak jauh dari lokasi kejadian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian yang berlaku di Klinik Kesihatan Beranang apabila salah seorang daripada tahanan berjaya melepaskan diri.
“Semasa sesi ujian calitan Covid-19 itu, kesemua tahanan berada di bawah kawalan anggota bertugas.
“Sebaik selesai urusan tersebut, semua OKT telah dinaikkan semula ke dalam trak polis sebelum salah seorang OKT secara tiba-tiba cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap semula dalam jarak 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang lelaki OKT berpakaian tahanan berwarna ungu telah melarikan diri ketika urusan menaikkan OKT di dalam trak polis.
Mengulas lanjut, OKT terbabit telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan dimasukkan semula ke lokap dengan selamat.
“OKT terbabit sebelum ini telah ditahan bersabit kes samun dan sedang berada dalam tempoh tahanan reman sehingga esok.
“Susulan kejadian ini, IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan polis,” katanya.