
CYBERJAYA – Dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu kepada Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menarik sokongan terhadap beliau adalah tidak benar.
Berita mengenai perkara berkenaan dilaporkan oleh dua buah portal berita sejak semalam, laporan berkenaan sekaligus mengelirukan banyak pihak kerana kandungan berita berkenaan sama sekali tidak benar.
Susulan itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri akan membuat satu laporan polis terhadap dua buah portal berhubung perkara tersebut di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 2 petang ini.
Portal berita berkenaan melaporkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilihat seolah-olah merayu kepada PN yang turut membentuk kerajaan Keluarga Malaysia sekarang supaya tidak menarik sokongan terhadap beliau.
Rayuan itu dibuat setelah sekurang-kurangnya dua kali Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan bahawa sokongan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri sekarang ini bersyarat.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu setelah PN sebulat suara bersetuju mencalonkannya sebagai Perdana Menteri.