Dakwaan Ustaz Abu Syafiq mengenai Muhyiddin tunai umrah tanpa divaksin tidak benar

0
109
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama delegasi mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac tahun lalu

CYBERJAYA – Dakwaan seorang penceramah agama bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac tahun lalu adalah tidak benar.

Menurut Pegawai Khas kepada Mantan Perdana Menteri Kelapan, Mohd Naaim Mahmod, bekas Perdana Menteri dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Katanya, kesemua mereka juga telah menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air.

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.

“Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Naaim lagi, hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif Covid-19.

Selain itu, katanya, pergerakan delegasi di Arab Saudi itu juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa negara itu di dalam suatu gelembung perjalanan yang telah ditetapkan.

Baru-baru ini, Ustaz Abu Syafiq yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa pergi ke tanah suci tanpa divaksin mendakwa bekas Perdana Menteri itu dan beberapa ahli kerajaan yang lain tidak mengambil vaksin ketika mereka menunaikan umrah baru-baru ini.

Susulan dakwaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan pendakwah tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here