
PUTRAJAYA – Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 yang bakal menggantikan DAKN 2011-2020 akan memacu pembangunan sektor komoditi negara dengan lebih berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar yang akan dilancarkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) itu diperkenalkan untuk meningkatkan daya saing dan pembangunan berorientasikan pasaran.
Dari segi pelaksanaannya, beliau berkata, dasar itu juga selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca Covid-19.
“DAKN 2021-2030 akan memayungi pembangunan Agrikomoditi negara agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman.
“Ia akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi sekaligus meningkatkan sektor industri hiliran Agrikomiditi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri dan Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di sini malam ini.
Majlis diadakan sempena program Jelajah Agrikomoditi yang bermula pada penghujung tahun lalu itu diadakan bagi mendengar aspirasi dan hasrat Perdana Menteri kepada sektor agrikomoditi negara.
Hadir sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha KPPK, Ravi Muthayah.
Menurut Ismail Sabri, DAKN 2021-2030 juga akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“Saya sentiasa menaruh harapan tinggi agar sektor agrikomoditi yang merupakan sumber pendapatan bagi hampir satu juta pekebun kecil dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya.
Sementara itu, pada 2020 sektor itu telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan sebanyak RM85 bilion.
“Ia melibatkan sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala Hiliran sebanyak RM38 bilion.
Katanya, nilai eksport produk Agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada nilai RM151.3 bilion dengan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Tambah Perdana Menteri, pada tahun 2021 pula, jumlah eksport Agrikomoditi mencatatkan peningkatan memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik Covid-19.
“Sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020
“Perubahan ini banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit,” katanya.