
KUALA PILAH – Bekas jurulatih negara, Dollah Salleh bersama ahli keluarganya berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaikinya secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di laluan Juasseh-Kapitan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu menyebabkan Pengurus pasukan Sri Pahang FC yang berusia 57 tahun itu cedera ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.
Menurut laporan Harian Metro, situasi sama turut melanda isteri dan anaknya apabila turut dimaklumkan mengalami kecederaan ringan kesan daripada kemalangan terbabit.

Sementara itu, gambar dan keadaan bekas pengendali Harimau Malaya itu terbabit dengan kemalangan tular di media sosial.
Menerusi gambar terbabit kelihatan Dollah dan ahli keluarga dalam keadaan selamat sebelum mereka dibawa ke hospital menggunakan ambulan.
Difahamkan, kemungkinan Dollah dan keluarga dalam perjalanan pulang ke Kuantan, Pahang, sebelum terbabit dalam kemalangan itu.